NEWCASTLE 2 TOTTENHAM 2

Jose Mourinho meratapi kesilapan individu menyebabkan Tottenham berputih mata dan bukannya didorong oleh corak pengurusannya.

Dua gol pantas daripada Harry Kane meletakkan Spurs 2-1 di depan dalam separuh masa pertama pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Newcastle United, awal pagi tadi, selepas Joelinton membuka tirai jaringan perlawanan.

Tetapi kisah sama berulang apabila mereka membenarkan pemain pinjaman Arsenal, Joe Willock, untuk gol penyamaan menuju lima minit waktu kecederaan dan hanya 52 saat selepas percubaan Kane menggegar tiang.

Kelab London itu gagal memenangi enam perlawanan musim ini apabila mereka mendahului dalam babak pertama -- paling banyak berbanding mana-mana pasukan -- untuk mereka tercicir di kedudukan empat teratas tetapi Mourinho menegaskan bahawa anak buahnya perlu dipersalahkan.

"Saya kecewa. Kami perlu memenangi perlawanan ini dan datang ke mari untuk menang," katanya kepada BBC Sport. "Kami menghampirinya tetapi pada masa yang sama, kami agak goyah.

"Ia dipengaruhi oleh banyak kesalahan individu yang kami buat di bahagian benteng. Kami kerap memberi peluang kepada Newcastle.

"Kami memiliki peluang terbuka untuk melebarkan kedudukan kepada 3-1 dan membunuh perlawanan ini, kami sebaliknya dibolosi pada minit berikutnya."


Sambung Mourinho mengenai kekentalan pertahanannya: "Jurulatih yang sama, pemain yang berbeza."

Spurs berpeluang memintas Chelsea seandainya mereka mengekalkan pendahuluan mereka tetapi akhirnya terpaksa akur dipisahkan dua mata daripada slot Liga Juara-Juara (UCL) menjelang pertembungan dengan bekas majikan Mourinho, Manchester United, hujung minggu ini.

Ditanya adakah lebih banyak masa diperlukan untuk menghasilkan yang terbaik daripada barisan pemainnya, pengendali Portugis itu menambah: "Saya tidak fikir begitu. Kami bekerja dengan baik, kami bekerja keras.

"Tetapi ada kesalahan yang tidak perlu saya perincikan kerana ia berkaitan dengan kualiti pemain."