PETALING JAYA: Pemain pertahanan Kelantan United FC Muhammad Aliff Najmi Shaaini berpotensi mewakili skuad Harimau Malaya pada masa depan.

Ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki Bawah 23 (B-23) kebangsaan E. Elavarasan berkata pemain berusia 22 tahun itu mempunyai saiz fizikal badan dan ketinggian yang sesuai untuk bermain di posisi berkenaan.

"Malah, Muhammad Aliff juga telah diserapkan beraksi untuk skuad senior ketika perlawanan ujian menentang skuad B-23 tempoh hari.

"Saya rasa dia ada potensi (bermain untuk skuad senior) namun semua bergantung kepada perkembangan beliau dalam masa setahun ini," katanya pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, di sini, pada Ahad.

Elavarasan pada masa sama tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat dua lagi pemain skuad B-23 yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam Harimau Malaya pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Elavarasan berpendapat barisan pemain juga boleh mengadaptasi falsafah bola sepak yang diterapkan walaupun anak buahnya tumpas kepada skuad senior dalam perlawanan ujian Jumaat lepas.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 60 pemain berada dalam radar pihaknya untuk dipanggil menyertai kem latihan pusat seterusnya iaitu pada Januari depan.

Sementara itu, pemain Kedah Darul Aman FC Aiman Afif Azizul menyifatkan Elavarasan lebih gemar bermain secara direct berbanding ketika beraksi di bawah kendalian bekas ketua jurulatih skuad B-23 dari Australia, Brad Maloney sebelum ini.

"Apa yang saya belajar ialah kita cuba main untuk lebih menyerang dan jaringkan gol," kata pemain tengah itu.

Pertahanan kiri Selangor FC Ahmad Zikri Mohd Khalili pula berharap panggilan menyertai kem latihan pusat kali ini akan dapat membuka mata pengendali pasukannya, Tan Cheng Hoe dalam memberi lebih minit permainan kepadanya musim depan.

Kem latihan pusat yang bermula 27 Nov lepas adalah sebagai persiapan awal skuad B-23 itu untuk mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang musim depan.

Antara kejohanan akan ditempuh skuad muda negara itu ialah Piala AFF B-23; Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja; Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Kelayakan Piala Asia/Sukan Olimpik B-23 2024.

-- BERNAMA