Penerjun negara, Leong Mun Yee, kecewa tidak terpilih ke Sukan Olimpik Rio 2016 dan akan bersara selepas tamat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mun Yee memegang rekod atlet wanita paling banyak mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik sesudah beraksi di temasya itu sejak Sydney 2000.

Namun, impiannya untuk ke Rio tidak kesampaian apabila tersingkir daripada skuad kendalian ketua jurulatih, Yang Zhuliang, walaupun dia memiliki rekod baik dalam acara 10m platform seirama.

"Ada rasa sedikit kecewa kerana saya telah membuat persediaan terbaik.

"Sebenarnya ia agak merugikan buat saya kerana kini saya berada di tahap terbaik. Tapi tak ada peluang nak pergi, mungkin tahun depan ada peluang lain lagi," katanya.

Acara 10m platform seirama bakal menyaksikan gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

Bagaimanapun, Mun Yee meneruskan latihan seperti biasa kerana diletakkan sebagai penerjun simpanan andai ada rakan sepasukan dilanda kecederaan.

Skuad terjun negara dijadual berlepas ke China, Khamis ini untuk kem latihan pusat.