RAFAEL Nadal disahkan positif COVID-19 selepas kembali dari Kejohanan Tenis Dunia Mubadala di Abu Dhabi minggu lepas.

Juara Grand Slam 20 kali dan bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, beliau berharap akan pulih tidak lama lagi dan akan memaklumkan tentang penyertaannya dalam kejohanan akan datang tidak lama lagi.

Pemain berusia 35 tahun itu mungkin terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Terbuka Australia yang dijadualkan bulan depan.

"Saya ingin mengumumkan saya telah disahkan positif COVID-19 selepas kembali daripada kejohanan di Abu Dhabi.

"Saya didapati positif selepas melakukan ujian PCR sebaik tiba di Sepanyol," katanya dalam catatan terbaharu di akaun Twitter miliknya.


Tambahnya semua ujian yang diambil semasa berada di Kuwait dan Abu Dhabi memberi keputusan negatif virus berkenaan, termasuk ujian yang dilakukan pada Jumaat lepas.

Semasa berada di Abu Dhabi, beliau telah bertemu dengan bekas raja Sepanyol, Juan Carlos pada Isnin.

Dalam satu kenyataan daripada pihak istana menyatakan, ahli keluarga diraja itu tidak menunjukkan sebarang gejala setakat ini dan kini sedang berehat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ini kejohanan pertama Nadal sejak cedera dalam Kejohanan Terbuka Citi di Washington pada Ogos lalu.

"Ketika sini saya rasa tidak selesa namun saya harap akan pulih tidak lama lagi.

"Saya akan menggunakan masa ini untuk merancang penyertaan dalam mana-mana kejohanan seterusnya," katanya.

Sebelum ini Nadal terpaksa berehat selama empat bulan akibat kecederaan kaki yang dialaminya pada peringkat separuh akhir di Roland Garros.

Kecederaan itu turut memaksa beliau menarik diri daripada Kejohanan Wimbledon, temasya Olimpik Tokyo serta Kejohanan Terbuka AS.

Selain itu beliau turut tidak dapat menyertai Kejohanan Piala Davis di Madrid awal bulan ini dan tidak akan membuat penampilan di Kejohanan Piala ATP bagi mewakili Sepanyol pada Januari depan di Sydney.

Kejohanan Terbuka Australia bermula pada 17 Januari 2022.

Awal tahun ini, Andy Murray terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Grand Slam selepas didapati positif COVID-19 pada Januari.