DIMITRI Payet meninggalkan padang dengan tangisan selepas ditimpa kecederaan hanya selepas sempat beraksi selama setengah jam dalam perlawanan akhir Liga Europa di antara Marseille dengan Atletico Madrid di Lyon, awal pagi tadi.

Marseille bermula garang tetapi ketinggalan 1-0 melalui sentuhan berbisa Antoine Griezmann sebaik Payet dilanda kecederaan dalam kekalahan 3-0.

Ketua pasukan itu turun dalam kesebelasan utama selepas mengatasi masalah otot yang menyisihkannya ketika seri 3-3 dalam aksi Ligue 1 dengan Guingamp, Jumaat lalu.

Namun, Payet -- yang menyentuh trofi semasa berjalan masuk ke dalam padang sebelum sepak mula -- mempamerkan riak kecewa sebelum digantikan oleh Maxime Lopez ketika permainan baru berusia 32 minit.

Bekas pemain tengah West Ham itu terus kelihatan sugul ketika menuju ke bangku simpanan Marseille sehingga terpaksa ditenangkan rakan sepasukannya termasuk tonggak lawan, Griezmann.

Payet pasti bertambah runsing memandangkan Didier Deschamps akan menamakan barisan pemain Perancis yang akan menyertai Piala Dunia Russia, hari ini.