KUALA LUMPUR: Atlet negara diingatkan supaya tidak mudah berasa selesa dengan pencapaian yang dikecapi sebaliknya terus mempamerkan prestasi terbaik selari dengan bentuk faedah dan insentif diterima.

Bekas ratu tenpin boling kebangsaan, Datuk Shalin Zulkifli berkata, selaku individu yang diberi tanggungjawab mengharumkan nama negara, kesemua atlet perlu menggembleng tenaga untuk terus mencipta kejayaan di masa akan datang.

"Sekarang ini kita dapat lihat mereka terima banyak faedah namun mereka kenalah gunakan sebaiknya dan jangan sia-siakan. Lama-kelamaan nanti kalau prestasi kurang memberangsangkan, orang beranggapan buat apa nak beri lagi?

"Faedah yang diterima atlet ketika ini merupakan legasi yang ditinggalkan atlet 10 hingga 20 tahun yang lepas. Bila kita bagi result, orang ramai sebenarnya nak tengok kesungguhan mereka, sekurang-kurangnya jika alami kekalahanpun, tetap berasa puas hati," katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi panel dalam forum Asian Sports ADR Summit di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, di sini, pada Jumaat.

Ikon boling negara itu turut menasihati atlet hari ini agar memiliki mentaliti pantang menyerah kalah seperti yang dipamerkan oleh atlet era terdahulu dalam mana-mana acara sukan yang diwakili mereka.

"Bagi saya, atlet jangan ada rasa sifat entitled. Kadang-kadang muka baharu ini mempersoalkan apa yang mereka akan dapat bila jadi atlet kebangsaan. Atlet terdahulu sebaliknya bertanya apa yang mereka boleh sumbang untuk negara.

"Pada masa yang sama, kita kena tanamkan semula semangat patriotisme dalam diri mereka supaya kemudian mereka boleh rasa, macam sekarang kalau menang menanglah, kalau tak menang tidak mengapa. Perkara itu ada, cuma kadang-kadang mereka lupa," katanya.

Terdahulu, forum itu dirasmikan oleh Ahli Kehormat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar. - BERNAMA