KESEMUA tiga perlawanan playoff NBA awal pagi tadi ditunda gara-gara protes susulan insiden penembakan Jacob Blake di Amerika Syarikat.

Keputusan itu diambil selepas Milwaukee Bucks memilih untuk memboikot perlawanan kelima pusingan pertama menentang Orlando Magic dalam siri playoff itu.

Milawukee, pasukan pilihan utama dalam Eastern Conference, mempunyai kelebihan 3-1 selepas empat perlawanan tetapi memilih untuk tidak turun ke gelanggang di Walt Disney Resort di Orlando, Florida awal pagi tadi.

Ketika pemain daripada keseluruhan liga itu menyampaikan mesej bagi memberikan sokongan kepada Milwaukee dalam media sosial, keputusan untuk menunda perlawanan pada hari berkenaan terpaksa diambil.

Los Angeles Lakers, yang turut diwakili LeBron James, sepatutnya berdepan Portland Trail Blazers dalam perlawanan hari kelima pusingan pertama Western Conference manakala Houston Rockets dan Oklahoma City Thunder turut dijadualkan bertemu dalam saingan itu.

"NBA dan NBPA hari ini mengumumkan bahawa susulan keputusan yang diambil Milwaukee Bucks untuk tidak turun ke gelanggang bagi perlawanan kelima menentang Orlando Magic hari ini, ketiga-tiga perlawanan pada hari ini -- MIL-ORL, HOU-OKC dan LAL-POR -- telah ditunda. Perlawanan kelima dalam siri ini akan dijadualkan semula," kata liga itu dalam satu kenyataan.


Kemungkinan untuk memboikot perlawanan itu telah dibincangkan NBA minggu ini selepas Blake, seorang lelaki kulit hitam, ditembak berkali-kali di bahagian belakang oleh pihak polis di Wisconsin.

Bapanya berkata Blake kini lumpuh sepenuhnya dari pinggang ke bawah.

BACA: Tunjuk perasaan bertukar ganas di Wisconsin, dua terbunuh

Fred VanVleet mendedahkan bahawa juara bertahan, Toronto Raptors, telah mengadakan satu mesyuarat untuk menentukan keputusan mereka menjelang perlawanan menentang Boston Celtics dalam pusingan kedua Eastern Conference, di mana perlawanan pertama akan bermula awal pagi esok.

Bagaimanapun, Milwaukee yang berpangkalan di Wisconsin terlebih dahulu memulakan tindakan mereka apabila enggan keluar daripada bilik persalinan sebagai protes terhadap tindakan ganas dan perkauman anggota polis berkenaan.

Bucks turut mengeluarkan satu kenyataan Isnin lalu sebagai tanda sokongan buat Blake.

Demonstrasi menyokong kempen "Black Lives Matter" telah bermula sejak NBA kembali membuka saingan di Orlando berikutan kematian George Floyd gara-gara keganasan polis pada Mei lalu.