Neymar mulakan pemulihan, sasar tempat dalam skuad Piala Dunia 2026

Neymar menjalani latihan gimnasium di pusat latihan Santos, dengan tumpuan kepada latihan khusus bagi menguatkan lutut kiri. - Foto AP
SAO PAULO: Penyerang Brazil, Neymar, telah memulakan proses pemulihan selepas menjalani pembedahan arthroskopik pada lutut kirinya pada 22 Disember lalu, dalam usaha untuk kembali cergas dan merebut tempat dalam skuad Piala Dunia 2026.
Neymar, yang bakal berusia 34 tahun pada 5 Februari, menangguhkan pembedahan bagi merawat masalah meniskus untuk membolehkannya beraksi dalam beberapa perlawanan terakhir musim ini bersama Santos, sekali gus membantu pasukan itu mengelak daripada penyingkiran.
Beliau menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan terakhir sebelum menjalani pembedahan yang dilakukan oleh doktor pasukan kebangsaan Brazil, Dr Rodrigo Lasmar.
Bapanya yang juga ejen, Neymar de Silva Santos Sr., mendedahkan pemain itu pernah mempertimbangkan untuk bersara susulan kecederaan terbaharu tersebut.
Namun, fokusnya kini beralih kepada Piala Dunia 2026, selain menandatangani lanjutan kontrak bersama Santos awal minggu ini hingga penghujung tahun.
Menurut laporan ESPN, Neymar menjalani latihan gimnasium pada Khamis di pusat latihan Santos, dengan tumpuan kepada latihan khusus bagi menguatkan lutut kiri.
Beliau dijangka boleh kembali beraksi pada permulaan musim Campeonato Brasileiro Série A 2026, yang bermula lewat bulan ini.
Walaupun memiliki 128 kaps antarabangsa, Neymar tidak pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Brazil sejak mengalami kecederaan ligamen anterior (ACL) dan meniskus ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023.
Beliau kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, selain menduduki tempat kedua dari segi jumlah penampilan antarabangsa, di belakang Cafu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


