Pemain skuasy wanita utama Malaysia Datuk Nicol David berada di landasan yang tepat untuk meraih gelaran ke-10 pada Terbuka Hong Kong.

Pilihan kedua kejohanan itu hanya mengambil masa 24 minit untuk menewaskan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy 11-4, 11-5 dan 11-2 pada aksi separuh akhir pada Sabtu, demikian menurut laman sesawang kejohanan www.hksquashopen.com.

Perlawanan berkenaan telah diubah ke gelanggang kaca di Pusat Sukan Hong Kong.

Dalam usaha mempertahankan gelarannya buat kali ke-10 itu, Nicol akan berdepan pemain England, Laura Massaro.

Laura menempah tempat ke perlawanan akhir selepas menumpaskan pilihan utama yang juga pemain nombor satu dunia, Raneem Ek Weleily 11-4, 11-5 dan 11-8 dalam aksi yang berlangsung selama 33 minit.

Untuk rekod, Nicol menjuarai Terbuka Hong Kong sembilan kali berturut-turut sejak 2006.