NILAI: Nur Aisyah Mohamad Zubir menjadi pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkannya slot ke Paris 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM Norazman Abu Samah berkata Nur Aisyah, 26, dipilih pada mesyuarat khas pemilihan di Velodrom Nasional hari ini, berdasarkan ranking dan prestasinya yang konsisten.

"Beliau merupakan pelumba paling konsisten, insya-Allah beliau tidak akan mengecewakan. Kita berharap dengan adanya bimbingan jurulatih Amir Mustafa Rusli yang pernah beraksi di Olimpik 2012, Nur Aisyah dapat mencipta keputusan yang baik.

"Selain Nur Aisyah, kita akan senaraikan lima pelumba, termasuk Phi Kun Pan (yang merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun wanita Kejohanan Asia), untuk membantu beliau membuat persediaan rapi ke Paris. Ini bagaikan mimpi dalam mimpi kerana kita tidak jangka akan menerima slot ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Norazman berharap untuk mendapatkan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan untuk merangka program latihan rapi buat Nur Aisyah menjelang saingan Paris 2024, termasuk pendedahan di Eropah.

Nur Aisyah yang berasal dari Terengganu, berjaya meraih dua perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan (lebuh raya) dan satu gangsa acara kriterium di Sukan SEA Hanoi tahun lepas, serta dua gangsa bagi acara berlepas berama-ramai individu dan kriterium pada Sukan SEA Kemboja, Mei lepas.

Di Sukan Asia Hangzhou, China bermula 23 Sept hingga 8 Okt, beliau menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dalam acara lepas beramai-ramai selain konsisten dalam kedudukan 10 teratas saingan Tour of Biwase Vietnam 2023 serta Tour of Thailand 2022 dan 2023.

Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, Kun Pan dan Yeong Zhen Yi adalah pelumba lain disenarai pendek sebelum Nur Aisyah dipilih pada mesyuarat itu, yang turut disertai wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan negeri.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Datuk Amarjit Singh Gill menjelaskan bahawa Malaysia menerima slot secara merit itu selaku nombor dua Asia dan antara negara yang belum layak ke Olimpik menerusi Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia di Thailand, Jun lepas.

Kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki negara Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa.

-- BERNAMA