Tiga pasukan bolasepak negeri kini sedang berbincang dengan syarikat kosmetik Nouvelles Visages (NV) berkaitan penajaan utama, kata Pengarah Urusannya Erni Dekritawati Yuliana Buhari.

"Kita ada berbincang dan saling berhubung dengan mereka," kata usahawan kosmetik yang dikenali Rita Sosilawati itu tanpa mendedahkan pasukan yang terlibat.

"Sememangnya saya berhasrat untuk menaja. Sudah tentu kita berhasrat untuk menjadi penaja utama," ketika ditemui selepas pelancaran Idol Spa oleh Nori Tun Abdullah, isteri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini hari ini.

MESTI BACA: 3 kesan impak penaja ke atas sukan bola sepak di Malaysia

Katanya, beliau tidak mahu tergopoh-gapah membuat keputusan kerana perlu mengambil kira kepentingan penajaan tersebut terhadap pulangannya kepada syarikat.

"Saya akan umumkan kepada media sekiranya perkara itu dapat dimuktamadkan dan buat masa sekarang perbincangan adalah ke arah apabila saya menaja apa yang saya akan dapat (dan) bila semua syarat saya dipenuhi," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Idol Spa adalah kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan NV dalam menyediakan suasana sebenar industri dalam pembelajaran dengan penglibatan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) secara aktif.

"Ini merupakan kerjasama pertama kita yang jalankan bersama pihak kementerian dan kita harap secara tidak langsung ia akan membantu pelajar IKBN menyesuaikan diri dalam suasana pekerjaan yang sebenar," katanya.

Dibuka di Menara KBS sejak pertengahan Disember lalu, spa itu beroperasi pada setiap Isnin hingga Sabtu dengan penglibatan lepasan pelajar IKBN yang telah diserap sebagai pekerja NV dan pelajar IKBN yang sedang menjalani latihan industri.