DUA atlet pertama yang diuji positif koronavirus di perkampungan sukan, Sukan Olimpik Tokyo 2020, sah merupakan ahli pasukan bola sepak Afrika Selatan.

Penganjur temasya itu mengumumkan malam tadi bahawa terdapat pertambahan 10 kes dalam ujian saringan terbaru untuk jumlah keseluruhan kini melonjak kepada 55 kes sepanjang bulan ini.

Ia turut merangkumi tiga kes di perkampungan atlet setakat ini, di mana seorang pegawai terlebih dahulu dikesan dijangkiti virus berkenaan kelmarin.

Persatuan Bolasepak Afrika Selatan dalam satu kenyataan semalam mengesahkan bahawa dua pemain mereka, Thabiso Monyane dan Kamohelo Mahlatsi, telah diuji positif virus berkenaan.

Pertahanan kanan Orlando Pirates, Monyane, dan pemain tengah Moroka Swallows, Mahlatsi, serta seorang penganalisis video, Mario Masha, kini diletakkan dalam pengasingan bagi tempoh 14 hari.

Pasukan bola sepak Afrika Selatan akan membuka saingan Kumpulan A dengan menentang tuan rumah, Jepun, Khamis ini sebelum mencongak perhitungan dengan Perancis dan Mexico, masing-masing pada 25 dan 28 Julai ini.