Menurut satu kajian yang diadakan Les Mills Asia Pacific, sembilan daripada sepuluh responden di Malaysia lebih gemar melakukan aktiviti senaman berkumpulan.

Atas sebab itu festival kecergasan One Live bakal dianjurkan di Kuala Lumpur kepada yang berminat melakukan senaman dalam suasana seperti konsert.

Bagi menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih sihat, Reebok dan Les mills membawa One Live ke Kuala Lumpur buat pertama kali.

Festival yang dianjurkan secara global mensasarkan 4,000 orang bersenam dan berseronok serentak di Kuala Lumpur.

Menurut Pengurus Besar Reebok Malaysia, Manish Sapra, rakyat Malaysia kini sedar kepentingan untuk cergas dan menjaga kesihatan dengan bersenam.

"Anda akan lebih seronok dan bermotivasi bersenam dalam kumpulan. Apa yang kami mahu lakukan ialah aktiviti kecergasan yang mensasarkan 4,000 orang dalam suasana seperti dalam konsert rock merentas 3 kelas berbeza dan diakhiri dengan hiburan DJ antarabangsa pada sebelah malam." kata Manish.

Reebok dan Les Mills merupakan dua nama yang terkenal sebagai perintis dalam aktiviti kecergasan berkumpulan.

Bagi Pengarah Jualan dan Pemasaran Les Mills Asia Pacific, Matt Spandow, kesemua program kecergasan Les Mills di gim menjanjikan suasana yang menyeronokkan dengan pengajar yang memastikan peserta terus bermotivasi.

"Semua program Les Mills di gim adalah amat popular dengan lampu yang terang dan pengajar hebat yang akan mengenali, membantu dan memberi motivasi kepada peserta. Program kami bukan sahaja untuk golongan elit kerana pengajar kami mampu bantu peserta baharu sebelum mereka bersedia untuk peringkat seterusnya." kata Spandow.

Festival kecergasan satu hari One Live Kuala Lumpur akan diadakan pada 21 November di StarXpo Centre, Kenanga Wholesale Mall Kuala Lumpur.

Jelajah Reebok Les Mills One Live bermula di Glasgow pada 14 Mac lalu sebelum ke Toronto, Chicago, Berlin, Shanghai, Melbourne, Paris, Barcelona dan London.

Malaysia merupakan hentian pertama jelajah One Live di Asia Tenggara.