KUALA LUMPUR: Permukaan baharu padang Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dijangka dapat digunakan bermula Jun ini selepas kerja menggantikan rumput selesai dalam tempoh tiga bulan, menurut Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata dua juru perunding akan dilantik untuk melaksanakan tugas itu dengan jumlah kos keseluruhan sejumlah RM10 juta.

PSM telah mendapat persetujuan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini untuk menaikkan taraf padang tersebut yang sebelum ini menggunakan rumput cowgrass kepada rumput berkelas dunia.

"Kontrak melaksanakan kerja tersebut turut melibatkan penyelenggaraan untuk tempoh empat tahun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Lembaga Pengarah PSM di sini hari ini.

Beliau berkata buat masa ini, PSM mempunyai empat sampel jenis rumput yang berbeza dan akan diuji untuk kesesuaiannya untuk digunakan dalam beberapa jenis sukan iaitu bola sepak, ragbi dan olahraga.

Terdahulu, Fernandes mengadakan pertemuan dengan petugas PSM di stadium berkenaan selepas khidmatnya sebagai pengerusi selepas selama dua tahun tujuh bulan tamat Sabtu ini.

"Saya akan menyerahkan mandat dan tanggungjawab ini kepada barisan anggota perbadanan yang baharu untuk meneruskan usaha dan idea di Stadium Nasional.

"Ia termasuk projek penukaran rumput, merancang untuk membangunkan muzium sukan negara, melancarkan KL Alive dan merasionalkan kompleks cawangan melalui permintaan untuk projek cadangan (RFP) atau pajakan kecil yang bertujuan mengurangkan kos tetapi memaksimumkan hasil," katanya.

Berikutan status beliau sebagai tokoh korporat terkemuka, Fernandes dilantik sebagai pengerusi PSM pada September 2018 bagi menggantikan Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Sepanjang menggalas tanggungjawab itu, Fernandes telah membuat banyak pembaharuan termasuk perubahan struktur organisasi untuk menjadi lebih telus serta menyelaraskan perniagaan teras dan objektif perbadanan itu.

Pada 2018, PSM berjaya merealisasikan rancangan untuk menjual suite korporat Stadium Nasional semasa acara diadakan dengan memperoleh hampir RM500,000 manakala dengan pertambahan jumlah acara pada 2019 mencatatkan hasil sebanyak RM10.2 juta berbanding RM4.3 juta pada 2018.

Majlis pertemuan bersama staf PSM itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Ramona Mohd Razali, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram dan beberapa wakil persatuan sukan kebangsaan.

-- BERNAMA