HANGZHOU: Kesemua empat wakil perseorangan lelaki badminton negara membuka tirai kempen Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di China dengan langkah kanan selepas menumpaskan lawan masing-masing pada hari pertama saingan kumpulan hari ini.

Bagi kategori SU5 (kecacatan fizikal) Muhammad Fareez Anuar mengambil masa 33 minit untuk menumpaskan pemain Singapura, Tai Wei Ming 21-12, 21-16 dalam saingan Kumpulan F di Gimnasium Binjiang, di sini.

Muhammad Fareez akan bertemu pemain India, Chirag Baretha dalam perlawanan kedua esok.

Mohamad Faris Ahmad Asri yang turut yang beraksi bagi kategori sama dalam saingan Kumpulan H pula berjaya menumpaskan pemain Vietnam, Bai Hui 21-7, 21-16 dan dijadual membuat perhitungandengan wakil Jepun, Taiyo Imai.

Dalam pada itu, Mohd Amin Burhanuddin yang beraksi dalam kategori SL4 (kecacatan fizikal) tidak berdepan masalah untuk mengecewakan wakil tuan rumah Gao Yuyang dalam straight set, 21-13, 21-10 dan akan bertemu Tarun Tarun dari India pada saingan Kumpulan C.

Cabaran negara bagi kategori WH2 (kecatatan fizikal) menerusi Noor Azwan Noorlan juga cemerlang apabila menundukkan Abu Hubaida dari Indonesia 21-6, 21-12 dan dan bakal bertemu pemain Vietnam, Ngoc Binh dalam saingan Kumpulan E.

Dalam perkembangan lain, squad bola keranjang kerusi roda lelaki menimpa nasib berbeza apabila bermula langkah kiri selepas ditewaskan Taiwan 52-53 dalam aksi Kumpulan B di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Menanti skuad negara pasukan Korea Selatan esok.

-- BERNAMA