SINGAPURA: Pasukan Royal Selangor Yacht Club (RSYC) Malaysia muncul juara keseluruhan kategori SB20 One Design di Kejohanan Regatta Singapura 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Ogos.

Diketuai pengemudi Muhammad Uzair Amin, pasukan itu mengungguli acara "passage race" pada hari pertama kejohanan dan menamatkan acara fleet race di tempat kedua pada hari kedua selepas Pasukan Tara.

Muhammad Uzair merupakan bekas pelayar Malaysia yang pernah memenangi dua pingat emas di dua temasya Sukan SEA berturut-turut dalam kategori International 420.

Turut belayar bersama Pasukan Tara adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, pasukan MAF x MY Gadis telah merekodkan keputusan membanggakan dengan memenangi "Line Honours" dalam kategori International Rating Certificate (IRC) kerana melepasi garisan penamat di tempat pertama dalam setiap perlumbaan.

Pasukan MAF x MY Gadis merupakan gabungan pelayar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan MY Gadis Sailing Team.

Namun, pasukan yang beraksi dalam kelas IRC bersama enam bot lain itu terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga untuk acara "passage race" dan tempat keempat keseluruhan setelah mengambil kira handicap setiap penyertaan.

Ini merupakan kolaborasi pertama pasukan pelayaran ATM dan pelayar wanita MY Gadis yang berlumba dengan bot layar SY ZUHAL.

"Ini adalah penyertaan sulung Pasukan Pelayaran ATM di Regatta Singapura. Prestasi Pasukan amat memberansangkan dengan memenangi Line Honours," kata ketua pasukan Leftenan Komander Mohd Hanif Husain dari Tentera Laut Diraja Malaysia kepada Bernama.

Pasukan terbesar dengan17 pelayar itu turut dipilih sebagai Best Visiting Yacht kerana memaparkan tahap kerjasama, semangat kesukanan dan profesionalisme yang tinggi.

"Ini adalah kali pertama pasukan MY Gadis secara rasmi menyertai perlumbaan bersama pasukan ATM. Perlumbaan selama dua hari ini mencabar kerana di perairan asing, tetapi saya gembira dengan hasil kerjasama kami," kata pengasas pasukan MY Gadis, Adlina Maria Abdul Majid.

Acara penyampaian hadiah turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

-- BERNAMA