Kekalahan tipis 1-2 Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi, kerana pemain-pemain tidak mampu bertahan dalam perlawanan yang sengit dan menukarkan peluang kepada jaringan gol di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Ketua Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe yang berharap sekurang-kurangnya pasukan bimbingan beliau mampu seri dengan pasukan nombor ke-65 dunia dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, nampak kecewa dengan keputusan itu.

"Secara keseluruhan pemain-pemain menunjukkan satu persembahan yang hebat, tetapi kami tidak boleh bertahan dalam tempo yang sama dan perlawanan yang sengit. Dalam separuh masa pertama, terutamanya dalam 20 minit pertama kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

Pemain tahu mereka perlu meningkatkan tempo dan bermain dengan penuh keterujaan kerana bermain dengan pasukan yang lebih baik , jadi mana-mana peluang yang kamu cipta, anda perlu jaringkan. Saya rasa UAE mempunyai dua peluang baik dan mereka menukarkannya kepada gol," kata beliau dalam sidang akhbar pasca perlawanan.

Cheng Hoe berkata pasukan bimbingannya yang berada pada ranking ke-159 dunia, perlu bekerja keras dalam persiapan perlawanan seterusnya, terutama menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Okt depan.

Malaysia bermula garang menerusi gol tandukan Muhammad Syafiq Ahmad, 36 saat selepas perlawanan bermula dan menguasai permainan selama 30 minit, sebelum UAE memastikan kemenangan menerusi jaringan Ali Ahmed Mabkhout pada minit ke-43 dan ke-74.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UAE, Bert van Marwijk mengakui anak buahnya bermula dengan sumbang kerana Harimau Malaya tidak memberi sebarang peluang kepada gergasi Timur Tengah itu.

"Kami ketinggalan 0-1, setiap orang 'tertidur' dan tidak dapat menguasai bola dan saya sedar terdapat kelompangan taktikal di sebelah kiri dan saya cuba perbetulkannya. Pada babak kedua, pasukan Malaysia kelihatan penat, kami berjaya menjaringkan gol.

Saya gembira kerana menang di sini kerana kami tidak menjangka menang di sini," katanya.

Warga Belanda itu yang membawa pasukan negaranya ke final Piala Dunia 2010 tetapi tewas 0-1 kepada Sepanyol , berkata selepas tiga pertukaran di buat Cheng Hoe selepas UAE mendahului, menyuntik kembali semangat tuan rumah.

UAE akan menjadi tuan rumah kepada Indonesia di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 10 Okt depan.

-- BERNAMA