KUALA TERENGGANU: Kegagalan pemain untuk lebih tenang dan kreatif ketika berada di pintu gol lawan merupakan punca skuad The Turtles terpaksa berkongsi mata bersama Kelantan FC selepas seri 0-0 dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini semalam.

Pengendali Terengganu FC II (TFC II) Badrul Afzan Razali yang tidak dapat menyembunyikan lagi kekecewaannya mengakui keghairahan anak buahnya untuk menjaringkan gol merupakan antara penyebab mereka terlepas banyak peluang dan gagal membolos gawang pihak lawan.

"Saya telah ingatkan para pemain untuk bermain dengan tenang dan perlu ada kreativiti untuk menjaringkan gol tetapi mereka nampak ghairah hendak menjaringkan gol sehingga banyak peluang yang kita lepaskan pada kedua-dua babak permainan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Keputusan pada malam tadi merupakan rekod seri ketiga berturut-turut buat The Turtles, selepas turut seri 1-1 dengan Kuching City FC dan 2-2 dengan Negeri Sembilan FC, selain sebelum itu meraih kemenangan 4-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN pada perlawanan pertama musim ini.

Badrul Afzan turut mengakui para pemain kelihatan letih malam tadi memandangkan mereka baharu sahaja pulang daripada 'bertempur' dengan Negeri Sembilan FC pada Sabtu lepas.

Bagi perlawanan seterusnya menghadapi Sarawak United FC Sabtu ini, jurulatih berusia 45 tahun itu berharap penyerang import Jordan Mintah atau pemain tengah Dechi Marcel yang kedua-duanya ketika ini dipanggil membantu pasukan 'abang' TFC, dapat diturunkan bagi membantu skuadnya meraih keputusan yang lebih baik.

Sementara itu Ketua Jurulatih Kelantan FC Marco Ragini berkata anak buahnya yang dilihat tidak berupaya menyaingi ketangkasan The Turtles perlu memperbaiki taktikal permainan mereka.

"Pasukan saya sangat letih secara fizikal, kami tidak mempunyai kapasiti untuk bersaing dengan tahap yang sama dengan Terengganu. Mereka (Terengganu) bermain dengan baik... sekarang saya tahu bagaimana corak permainan Terengganu," katanya yang turut kecewa kerana anak buahnya telah membuka banyak ruang jaringan kepada TFC II.

Bagaimanapun, jurulatih dari Itali itu memuji prestasi ditunjukkan penjaga gol The Red Warriors, Mohamad Faridzuean Kamaruddin yang berjaya menggagalkan setiap percubaan jaringan TFC II.

Dalam pada itu Ragini berharap penyerang import Jack Hindle dapat segera beraksi bagi membantu pasukan bermain lebih 'garang' pada perlawanan seterusnya.

Pemain import Inggeris itu kini dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana tindakannya menolak pengadil Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin secara agresif selepas berang dengan Mohd Amirul Aizat yang berada di kedudukan yang menghalang percubaannya ketika menentang Perak FC II, 6 Mac lepas.

-- BERNAMA