KUALA LUMPUR: Pembubaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) perlu mengikut lunas perlembagaan badan induk itu termasuk ia harus diputuskan menerusi satu mesyuarat agung khusus.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata ia seperti mana diperuntuk di bawah Fasal 45.1 dan tindakan pembubaran juga perlu dipersetujui dua pertiga ahli gabungan yang berhak mengundi.

"Fasal 45.2 pula menetapkan sekiranya dibubarkan mengikut Fasal 45.1, segala hutang piutang yang sah hendaklah diselesaikan MASTAF, manakala bakinya sekiranya ada hendaklah diserahkan kepada Pemegang Amanah Raya.

"Seterusnya, Fasal 45.3 menuntut keputusan pembubaran hendaklah disampaikan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam tempoh 14 hari daripada tarikh pembubaran tersebut," menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Halim berkata dalam masa sama, pihak ISTAF perlu mendapatkan salinan minit mesyuarat agung pembubaran daripada MASTAF yang tercatat secara sahih bahawa pembubaran itu dipersetujui dua pertiga ahli gabungan yang berhak mengundi.

"Minit mesyuarat agung tersebut juga perlu ditandatangani Presiden dan Setiausaha Agung MASTAF serta individu yang bertindak sebagai pencatat minit mesyuarat," menurutnya.

Pada Selasa, Bernama melaporkan Presiden MASTAF Datuk Suhaili Abdul Rahman mengumumkan pembubaran badan induk itu berkuat kuasa serta merta.

Suhaili memaklumkan keputusan itu mula dibincangkan Jawatankuasa Tertinggi MASTAF pada 8 Dis lepas dan bukan semata-mata berpandukan keputusan Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) menyatakan hasrat menganggotai semula Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelum ini.

-- BERNAMA