Ramai peminat Motogp Grand Prix Malaysia yang datang ke Litar Antarabangsa Sepang meluahkan kekesalan dengan perubahan jadual perlumbaan di saat akhir dipercayai disebabkan faktor cuaca.

Tinjauan Astro AWANI di pekarangan SIC jam 11 pagi tadi menyaksikan rata-rata peminat yang hadir masih lagi berlegar dan berasak untuk masuk walaupun perlumbaan Moto3 telahpun tamat.

Seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Ariff Ariffin berkata dia hanya mengetahui tentang perubahan jadual tersebut malam tadi.

"Saya masih tak dapat masuk sebab terpaksa tunggu kawan. Mereka tukar jadual saat akhir jadi susah sikit pada peminat yang buat perancangan lebih awal," katanya ketika ditemui di pekarangan SIC.

Bagi Mohammad Aizuddin Abdul Aziz pula, dia merasakan perubahan saat akhir disebabkan faktor cuaca itu boleh dielakkan.

"Kita pun tahu perlumbaan sebelum ini pun kerap berlaku hujan ketika perlumbaan. Jadi kalau dia buat perubahan saat akhir susahlah sikit bagi peminat yang tinggal jauh.

"Saya harap ada perancangan awal daripada pihak penganjur dan kami peminat pun memang suka tengok perlumbaan ketika litar kering," kata Mohammad Aizuddin.

Perlumbaan bagi kelas Moto3 dijadual bermula pada jam 10 pagi berbanding jadual asal pada 12 tengah hari, manakala perlumbaan Moto2 dianjak ke jam 11.20 pagi.

Perlumbaan bagi kelas MotoGP bermula pada jam 1 tengah hari berbanding 3 petang sebelumnya.