Semangat peminat skuad bolasepak negara Harimau Malaysia masih kuat meskipun pasukan itu tewas pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang Thailand, semalam.

Reaksi daripada warga media sosial Twitter mendapati rata-rata mereka yakin bahawa Malaysia mampu bangkit semula pada perlawanan akhir kedua nanti.

Malah kebanyakan mereka menyatakan rasa tidak sabar untuk berkunjung ke Stadium Bukit Jalil 20 Disember ini bagi memberikan sokongan padu kepada pemain kebangsaan.





Semangat kebangkitan turut dinyatakan beberapa ahli politik tempatan termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan.




Sementara itu, Jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh turut yakin bahawa pasukan Malaysia mampu menebus kekecewaan terhadap Thailand pada aksi final kedua kejuaraan itu Sabtu ini.

Katanya, biarpun ketinggalan 2-0 pada final pertama, bermain di hadapan ribuan penyokong Malaysia di gelanggang sendiri akan menyuntik semangat untuk mengatasi defisit serta mengulangi kejayaan 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.

Thailand semalam telah menundukkan Malaysia dengan kemenangan selesa, 2-0 pada perlawanan akhir pertama AFF Suzuki di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Pasukan Gajah Perang itu telah memanfaatkan peluang mereka bermain di padang sendiri dan di hadapan penyokong sendiri.

Malaysia, bagaimanapun, mempunyai peluang bagi menebus maruah pada perlawanan kedua yang bakal diadakan pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.