Penganjuran Piala ASEAN FIFA satu detik bersejarah di Asia Tenggara - FAM

FIFA melancarkan Piala ASEAN FIFA yang akan menghimpunkan semua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas bola sepak serantau terbesar di bawah naungannya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap pengumuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai penganjuran edisi sulung Piala ASEAN FIFA sebagai satu langkah bersejarah dalam pembangunan bola sepak di Asia Tenggara.
Ringkasan AI
- Pengumuman FIFA mengenai penganjuran edisi sulung Piala ASEAN FIFA disifatkan sebagai langkah bersejarah dalam pembangunan bola sepak Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
- Kejohanan ini dijangka membuka lembaran baharu bagi pasukan ASEAN di bawah naungan FIFA, meningkatkan mutu pertandingan dan semangat kesukanan serantau.
- Walaupun masih di peringkat awal, FAM berharap kejohanan ini dapat direalisasikan dengan sokongan semua negara anggota dan kepimpinan FIFA demi kemajuan bola sepak rantau ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata penganjuran kejohanan itu juga dijangka membuka lembaran baharu kepada bola sepak Asia Tenggara di bawah bumbung FIFA, selain menjadi platform penting untuk meningkatkan tahap persaingan pasukan-pasukan di rantau ini.
Beliau berkata inisiatif itu juga bakal memperkukuh hubungan antara negara ASEAN dalam semangat kesukanan dan persahabatan, selain meningkatkan mutu pertandingan kerana ia akan berlangsung dalam kalendar rasmi FIFA.
"Kami percaya dengan sokongan padu semua negara anggota dan kepimpinan FIFA, Piala ASEAN FIFA akan menjadi simbol kebangkitan bola sepak Asia Tenggara di pentas dunia," katanya.
Yusoff bagaimanapun berkata penganjuran kejohanan itu masih di peringkat awal dan memerlukan perbincangan lanjut serta komprehensif sebelum dapat direalisasikan sepenuhnya.
"Apapun, kita berharap penganjuran Piala ASEAN FIFA dapat direalisasikan demi kemajuan bola sepak rantau ini," katanya.
Semalam FIFA melancarkan Piala ASEAN FIFA yang akan menghimpunkan semua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas bola sepak serantau terbesar di bawah naungan badan induk bola sepak dunia itu.
Presiden FIFA Gianni Infantino berkata kejohanan itu diwujudkan bagi memberi suntikan semangat baharu kepada bola sepak rantau ini, selain menjadi simbol penyatuan negara-negara ASEAN melalui sukan paling popular di dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


