Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu setiap pengurus pasukan bola sepak di negara ini lebih cekap menguruskan setiap pemain serta bijak menyusun strategi untuk penjenamaan semula pasukan masing-masing.

Beliau berkata dalam arena pengurusan bola sepak moden hari ini setiap pengurus pasukan perlu bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang merancang strategi pasukan yang diterajuinya.

"Dalam pengurusan bola sepak moden, kita tidak boleh lagi menggunakan pengurusan cara lama, kalau dahulu mungkin pengurus hanya membuat pengurusan dari aspek tiket perjalanan dan keperluan logistik semata, tetapi hari ini persepsi begitu perlu berubah.

"Pengurus pasukan mesti bertindak sebagai seorang CEO, melihat setiap pemain adalah aset yang besar dan mempunyai matlamat bagaimana mambantu meningkatkan prestasi pasukan dari segi penjenamaan semula," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu perpindahan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Negara 2012 Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ke Johor Darul Takzim.