KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk mara ke suku akhir acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland, tidak kesampaian selepas tersingkir pada pusingan kedua, pada Sabtu.

Azizulhasni, yang menentang pelumba Australia, Thomas Cornish pada saringan keempat tersingkir gara-gara tindakannya yang mahu memotong pesaing ketika perlumbaan berbaki separuh pusingan pada saingan berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy, sekali gus menyaksikan penyertaannya dibatalkan.

Sebaliknya, Cornish diberi kemenangan.

"Selepas melepasi selekoh terakhir saya secara tidak sengaja termasuk sedikit ke bawah ke dalam line pihak lawan.

"Berbeza dengan masuk atau menghimpit dengan sengaja, saya yang tersedar ketika hilang kawalan terus cepat-cepat keluar tanpa memberi apa-apa halangan dan membahayakan pihak lawan," katanya menerusi hantaran di laman Instagram.

Walaupun pihak komisar pertandingan menerima hujah pihaknya bahawa beliau tidak sengaja dan tidak bersalah ketika perlumbaan, namun pemenang perak Sukan Olimpik 2020 tetap terkilan dengan keputusan mereka yang memilih untuk mengekalkan pembatalannya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman lepas, pelumba kebiasannya diberikan amaran sahaja kerana ia bersifat tidak sengaja dan tidak membahayakan pihak lawan.

Bagaimanapun, bekas juara dunia itu tetap menerima keputusan terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Cornish di peringkat seterusnya.

Justeru, beliau, yang memohon maaf susulan pembatalannya pada acara pecut, berazam memberi tumpuan sepenuhnya dalam acara kegemarannya iaitu keirin yang bermula Selasa ini.

Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun. Terengganu, itu muncul pelumba keempat terpantas daripada 35 pelumba dalam saingan kelayakan.

Hanya lapan pelumba terbaik layak secara automatik ke pusingan kedua.

Dalam pada itu, seorang wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, juga terkandas selepas disingkirkan naib juara edisi lepas, Matthew Richardson dari Australia, pada pusingan pertama.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Zonis gagal muncul antara kelompok 28 pelumba terbaik untuk pusingan pertama selepas hanya mampu menduduki tempat ke-35 di pusingan kelayakan. - BERNAMA