IPOH: Perak FC menafikan spekulasi untuk mendapatkan khidmat penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli serta pemain pertahanan Adam Nor Azlin dari Johor Darul Ta'zim (JDT), bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang dijangka berlangsung pada April tahun hadapan.

Ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah berkata ini kerana, tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan berhubung perkara tersebut.

"Perkara ini hanya bersifat khabar angin. Saya tak boleh mengesahkannya dan kita tak mahu bertindak terburu-buru, kerana liga (Malaysia) pun hanya akan bermula pada April tahun depan.

"Jadi apa yang saya boleh katakan di sini belum diadakan sebarang perbincangan dan kalau ada ia sesuatu yang positif. Di pihak saya, kita tak mahu beri bayangan, kerana belum tahu di mana pengakhiran yang akan berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sebelum ini, wujud desas-desus mengaitkan Muhammad Haziq serta Adam, akan membawa haluan ke Perak atas status sebagai pemain pinjaman.

Yusri berkata, meskipun optimis akan ada pemain baharu yang bakal dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan, namun segala-galanya bergantung kepada bajet daripada pihak pengurusan.

Dalam perkembangan lain, bekas pemain kebangsaan itu berazam mengutip mata penuh dalam aksi menentang Terengganu pada malam ini, bagi memperbaiki kedudukan Perak yang kini berada di tangga ke-11 daripada 14 pasukan Liga Super.

Beliau mengharapkan barisan serangan yang diketuai pemain import dari Serbia Luka Milinovic lebih tajam dan tidak mensia-siakan peluang bagi menghasilkan jaringan sekali gus melakar kemenangan untuk The Bos Gaurus.

"Meskipun ini perlawanan terakhir liga, bagi saya kita perlu memberikan saingan dalam tempoh 90 minit dengan lebih baik dan lebih fokus, untuk menghasilkan kemenangan.

"Seandainya mampu menewaskan Terengganu, kita akan naik satu anak tangga pada kedudukan ke-10 namun kalau berlaku sebaliknya kita akan kekal di kedudukan sekarang," katanya. - BERNAMA