PETALING JAYA: Pemain sayap kanan negara Muhammad Safawi Rasid mendedahkan beliau diberi peranan bebas di atas padang bersama Terengganu FC yang mampu menyerlahkan kehebatan dan kemampuan sebenarnya.

Muhammad Safawi yang dipinjamkan ke Terengganu dari Johor Darul Ta'zim (JDT) tahun ini menyifatkan perkara itu secara tidak langsung menyuntik keyakinannya sepanjang seminggu kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, sejak Jumaat lepas.

Selain itu, menurut beliau latihan pramusim skuad Penyu yang bermula awal juga telah membantunya bersedia untuk menjalani latihan bersama pasukan negara, menjelang dua aksi getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman bulan ini.

"Untuk panggilan kali ini saya rasa lain sikit sebab dekat Terengganu saya boleh buat banyak apa yang saya nak dalam perlawanan, macam 'free role' (peranan tidak terhad pada satu posisi sahaja).

"Jadi saya rasa dengan keyakinan saya, latihan di Terengganu 'match fitness' (kecergasan perlawanan) tiada masalah bagi saya untuk rebut peluang lawan Oman," katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Muhammad Safawi disenaraikan dalam skuad ke Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, Januari lepas, namun tidak diturunkan dalam kesemua tiga perlawanan Kumpulan E masing-masing menentang Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Sementara itu, beliau berkata perlawanan pemanas badan menentang Nepal yang dijadual berlangsung secara tertutup di Wisma FAM di sini, malam esok, penting untuk semua pemain sebelum berlepas ke Muscat, Ahad ini.

"Bagus untuk kami sebab sudah lama kami tiada 'match fitness', jadi saya rasa selepas kami ada sparring antara satu sama lain, (ditambah) perlawanan esok ia untuk kami dapatkan 'match fitness'," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Malaysia yang menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata akan menentang musuh terdekat, Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 22 Mac (2 pagi waktu Malaysia) dan aksi di tempat sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.

Selepas beraksi dua perlawanan menentang Oman, Malaysia dijadual bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini sebelum menamatkan saingan Kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Kyrgyzstan kini berkongsi tiga mata dengan Oman di kedudukan ketiga sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027 sementara dua pasukan terbawah akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia.

-- BERNAMA