Persembahan air dan api hijau pertama warnai upacara pembukaan Sukan SEA Thailand 2025

Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok merupakan venue di mana majlis pembukaan Sukan SEA ke-33 berlangsung malam tadi. --fotoBERNAMA
BANGKOK: Lebih 800,000 liter air dan pengenalan julung kalinya api hijau, antara sorotan utama upacara pembukaan Sukan SEA Thailand 2025, pada malam Selasa, yang menyaksikan Stadium Nasional Rajamangala di sini berubah menjadi simbol perpaduan utuh.
Ringkasan AI
- Upacara pembukaan Sukan SEA Thailand 2025 menonjolkan simbol perpaduan melalui penggunaan 800,000 liter air dan api hijau yang memukau penonton di Stadium Nasional Rajamangala.
- Acara bermula dengan segmen 'Back to the Origin' yang menampilkan 800 dron membentuk logo Sukan SEA 2025, diikuti oleh persembahan laser, nyala api, dan lagu rasmi temasya.
- Detik emosional berlaku apabila kesemua kontinjen termasuk Malaysia memasuki stadium dengan penuh semangat, disusuli dengan penyalakan 'First Green Flame' yang melambangkan kemampanan dan semangat Sukan SEA.
Daripada kilauan dron, persembahan diteruskan dengan segmen 'Ignite the Games'. Laser, nyala api dan cahaya melimpahi arena sebagai tanda cita-cita dan ketahanan atlet Asia Tenggara.
Ia diikuti persembahan lagu rasmi temasya, '1%' , oleh artis rap berpengaruh Thailand GOLF F. HERO, penyanyi dan pelakon kelahiran Thai-Belgian, Violette Wautier serta artis hip hop tempatan terkenal Pitawat Pruksakit.
Acara yang turut dihadiri Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Thailand Permaisuri Suthida, diteruskan dengan segmen 'We Are One - Connected by the SEA'.
Air menjadi fokus utama segmen berkenaan yang menampilkan tarian balet dalam air oleh lapan bekas atlet kebangsaan Thailand serta aksi-aksi mendebarkan penunggang jet ski dan flyboard di kolam berkenaan.

(Foto AP)
Persembahan akuatik itu kemudiannya menjadikan stadium sebagai 'River of Friendship' yang secara visual menghubungkan 11 negara.
Artis K-pop popular anggota GOT7 BamBam menyemarakkan lagi suasana menerusi segmen "Blooming of One Victory" dengan persembahan Wheels Up yang meraih sambutan hangat penonton di stadium.
Detik bermakna akhirnya tiba apabila kesemua kontinjen termasuk Malaysia yang diketuai atlet olahraga Andre Anura Anuar dan ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah sebagai pembawa Jalur Gemilang, berbaris memasuki stadium.
Sebanyak 59 atlet kebangsaan terdiri daripada atlet olahraga, luncur air dan luncur ais, dengan bangga memasuki stadium sambil mengenakan kemeja batik yang menonjolkan identiti Malaysia dengan imej moden dan berani, menggabungkan rekaan tradisi dan kontemporari.

Kontinjen Malaysia. (Foto AP)
Selepas Raja Maha Vajiralongkorn mengisytiharkan Sukan SEA dibuka, 'First Green Flame' dinyalakan sekali gus mentakrifkan semula kawah tradisi temasya menerusi nyalaan laser, pemetaan cahaya dan dron.
Direka bentuk untuk meminimumkan penggunaan bahan api, nyalaan itu menandakan peralihan yang signifikan ke arah kemampanan tanpa mengetepikan semangat upacara pembukaan Sukan SEA.
Pemenang pertama dua pingat emas Thailand, Panipak Wongpattanakit yang juga atlet taekwondo, menyalakan kawah justeru bermulalah kempen atlet dalam sukan masing-masing sehingga 20 Dis ini.
Sukan SEA Thailand 2025 kini berlangsung di dua wilayah iaitu Bangkok and Chonburi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


