KOTA KINABALU: Sabah FC tidak akan mengambil mudah cabaran daripada Macarthur FC dalam aksi Separuh Akhir Peringkat Zon Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) di Stadium Campbelltown, Sydney, Australia, esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menyedari cabaran menggerunkan daripada Macarthur yang masih belum pernah tewas dalam tujuh perperlawanan di Liga-A.

"Kami tidak ada perlawanan sehingga esok sementara Macarthur sudah mengharungi lapan perlawanan dengan memenangi tujuh perlawanan sememangnya mereka sangat cergas untuk perlawanan esok. Saya fikir Macarthur mempunyai banyak kelebihan kerana mereka bermain di liga ini secara tetap.

Tetapi kami mempunyai kebanyakan daripada pemain utama untuk memastikan kami beraksi dengan baik," beliau berkata dalam sidang media praperlawanan di Stadium Sukan Campbelltown, hari ini.

Rakaman video sidang akhbar itu diperoleh Bernama di sini hari ini.

Kali terakhir Skuad Badak beraksi ialah dalam perlawanan Liga Super Malaysia pada 17 Dis tahun lepas menentang Kedah Darul Aman di Stadium Likas di sini.

Sabah memenangi perlawanan itu dengan jaringan 2-0 dan menamatkan aksi di liga berkenaan di tempat ketiga dengan 54 mata.

Ketika ditanya mengenai persiapan Sabah, Kim Swee berkata persiapan dan latihan pasukan itu berjalan seperti yang dirancangkan.

"Kami tiba beberapa hari lepas dan semua berjalan seperti dirancangkan. Kami juga memerhatikan pemain dan pasukan Macarthur sudah tentu esok perlawanan yang penting tetapi ia boleh berubah dalam perlawanan dan kami akan melakukan persediaan," katanya.

Pada sidang akhbar sama, pemain tengah Sabah Telmo Castanheira menzahirkan keyakinan penuh bahawa pasukan ini akan beraksi dengan baik bukan hanya mewakili Sabah tetapi juga Malaysia..

"Kami memiliki sebuah pasukan yang hebat dan beraksi dengan hebat dalam liga tahun lepas, kami mahu datang ke sini dan mempamerkan kualiti kami esok. Adalah penting bagi kami beraksi dengan baik untuk Sabah dan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA