KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya masih tidak dapat menyaingi Vietnam apabila tewas 0-3 pada aksi Piala AFF 2022 yang turut terpalit dengan penalti kontroversi di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa malam.

Turun dengan kesebelasan terbaik, Malaysia dilihat cuba bertahan dengan serangan yang dijelmakan skuad bimbingan Park Hang-seo pada 30 minit pertama.

Namun, Vietnam memperolehi jaringan pertama menerusi tandukan daripada penyerang Nguyen Tien Linh pada minit ke-32.

BACA: Cuaca sejuk, berangin ujian buat skuad Harimau Malaya di Hanoi 

Vietnam sekali lagi berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti kontroversi yang melibatkan layangan kad merah kepada pertahanan negara, Azam Azmi Murad pada minit ke-64 sebelum gol ketiga hadir menerusi Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam merampas kedudukan teratas kumpulan B, berkongsi enam mata bersama Malaysia dan Singapura.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Singapura pada 3 Januari depan bagi menamatkan aksi kumpulan B.