KUALA LUMPUR: Harimau Malaya melakar kemenangan berharga selepas menundukkan Thailand 1-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Aksi skuad negara wajar diberikan pujian selepas berjaya mengekang asakan bertali arus Thailand untuk memastikan gawang tidak dibolosi.

Malaysia mendahului pada minit ke-11 hasil jaringan Faisal Halim selepas mendapat umpanan cantik V Ruventhiran.

Susulan daripada gol pertama itu, Thailand terus menggandakan asakan namun dinafikan penyudah yang tumpul.

Sepanjang tempoh separuh masa pertama, skuad Harimau Malaya dilihat lebih banyak bertahan bagi memastikan kelebihan satu gol terus kekal.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung, Thailand terus mengasak ke kubu negara namun menemui jalan buntu.

Gol kedua negara hasil tandukan Dominic Tan yang menyempurnakan hantaran sepakan percuma dibatalkan selepas pengadil mendakwa berlaku kekasaran ke atas pemain lawan.

Keputusan kekal 1-0 sehingga wisel penamat ditiupkan dan penentuan pasukan yang layak ke perlawanan akhir akan ditentukan dalam separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Bangkok.

Skuad Kim Pan-gon akan berkunjung ke Stadium Thammasat pada 10 Januari ini dengan kelebihan satu gol.