PETALING JAYA: Tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohamed Syamer Kutty Abba melupakan seketika hasrat berbulan madu bersama isteri yang baru dinikahinya Nur Miza Athira, demi menyahut seruan negara bersama skuad Harimau Malaya untuk beraksi dalam Piala Asia 2023 dari 12 Jan hingga 10 Feb di Doha.

Mohamed Syamer yang terpaksa meninggalkan isterinya buat seketika beberapa hari selepas selamat diijabkabulkan baru-baru ini, bagaimanapun bersyukur pasangannya itu sangat memahami komitmennya bersama skuad kebangsaan.

"Saya sudah berbincang perkara ini dengan isteri, dia tahu keutamaan saya ialah bola. Saya amat berbangga dapat panggilan negara dan terima kasih kepada petugas kejurulatihan kerana beri peluang dapat (tersenarai) ke dalam skuad akhir," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini semalam.

Beliau, yang kembali dalam skuad kebangsaan selepas kali terakhir beraksi pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 Jun lepas, berkata bermain dalam Piala Asia sememangnya merupakan impian setiap pemain.

Justeru, Mohamed Syamer bertekad membuktikan dirinya mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan ketua jurulatih Kim Pan Gon sekiranya diberi kepercayaan diturunkan kelak.

Walaupun skuad kali ini terdiri daripada ramai pemain berkualiti, pemain berusia 26 tahun itu berkata situasi berkenaan mampu mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pada pertandingan bola sepak berprestij tinggi Asia itu.

Beliau pada masa sama berkata peluang beraksi bersama pasukan yang jauh lebih tinggi ranking daripada Harimau Malaya terutamanya Korea Selatan dalam peringkat Kumpulan E merupakan platform membuktikan tahap kemampuan Malaysia yang menunjukkan peningkatan mendadak sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Khuzaimi Piee pula mengakui terkejut mendapat panggilan ke dalam barisan akhir Piala Asia 2023 selepas kali terakhir disenaraikan dalam skuad kebangsaan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong, Mac lepas.

Ahmad Khuzaimi juga berharap agar kesemua pemain dapat memberikan segala-galanya, selain mahu membantu benteng pertahanan mengurangkan kesilapan mudah di atas padang.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit, akan menentang Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali yang juga pasukan pilihan Korea Selatan pada 25 Jan.

Juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga teratas akan layak ke pusingan 16 terbaik.


-- BERNAMA