KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara perlu mara ke pusingan akhir Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024 yang dijadualkan berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan bermula 21 hingga 24 Mei ini jika mahu menempah slot ke Piala Dunia tahun depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata skuad negara yang turun sebagai juara bertahan edisi Thailand 2022 dilihat semakin mantap dengan gabungan pemain berpengalaman dan baharu untuk kejohanan berkenaan.

"Bagi pasukan lelaki, Malaysia perlu jadi dua pasukan terbaik (masuk final) untuk dapat slot automatik ke Croatia tahun depan.

"Kita ada beberapa pemain yang pernah mewakili pasukan hoki padang kebangsaan dan mereka akan menambah kekuatan pasukan ini," katanya.

Subahan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Pasukan lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Kazakhstan, Oman dan Indonesia.

Sementara itu, beliau mengakui pasukan hoki dalam dewan wanita berdepan tugas sukar apabila diundi dalam Kumpulan A bersama Kazakhstan, Iran, Nepal dan Oman bagi saingan Piala Asia yang akan berlangsung di Chonburi, Thailand pada 13 hingga 16 Mei ini.

"..untuk pasukan wanita, mereka wajib muncul juara kerana slot (kelayakkan ke Piala Dunia 2025) hanya diberikan kepada pasukan yang menjadi juara sahaja.

"Sebelum ini mereka di tempat tiga (Piala Asia 2022) dan kali ini mereka perlu ke final dan jadi juara," katanya

Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita 2025 akan berlangsung di Croatia pada 3 hingga 9 Feb tahun depan.

-- BERNAMA