KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menjamin mutu pengadilan yang terbaik dalam penganjuran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei ini.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata pihaknya telah mengenal pasti 20 hingga 30 pengadil bertauliah dari Malaysia untuk kejohanan yang menawarkan ranking dunia buat julung kalinya.

"Kami akan mengambil pengadil seluruh negara yang boleh memberikan terbaik iaitu mempunyai pangkat di peringkat Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) atau ISTAF bagi kejohanan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu pengadilan dalam sukan sepak takraw menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Sumali Reduan mengakui kecewa dengan mutu pengadilan pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Pada kejohanan dunia di sini, sebanyak 21 negara telah mengesahkan penyertaan dengan 12 pasukan bersaing bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1.

Sebanyak 12 negara dalam saingan Premier terdiri daripada Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina.

Divisyen 1 pula ada sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh

Mohd Sumali sebelum ini memaklumkan persiapan negara menjadi tuan rumah sudah mencapai tahap 50 peratus membabitkan pengangkutan dan kemudahan disediakan.

Majlis pelancaran Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2024 tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, Jumaat ini.

-- BERNAMA