KUALA LUMPUR: Impian Malaysia untuk menamatkan kemarau 33 tahun skuad sepak takraw dalam acara Berpasukan Piala Dunia ISTAF tidak kesampaian apabila tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir petang tadi dengan keputusan 1-2.

Terdahulu, regu pertama Malaysia yang dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Nor Azlan Alias menghadirkan kegirangan di Stadium Titiwangsa, apabila menewaskan regu pertama Thailand dalam tiga set (9-15, 15-11, dan 15-13).

Bagaimanapun kegembiraan itu terhenti seketika apabila regu kedua Malaysia yang dibarisi Haziq Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir dan Noraizat Nordin, sedikit longlai dan tewas straight set (8-15, 5-15).

Berbekalkan semangat dan sorakan yang dilaungkan lebih 5,000 penyokong setia, regu ketiga cuba mencari mata ketiga.

Biarpun jurulatih Ahmad Jais Baharun cuba membuat pertukaran taktikal dengan menukarkan tekong dan perejam di pertengahan set pertama dengan menggantikan Zuhri Zain (tekong) dan Baihakki A'ripin (pelibas), serta memasukkan Zarif Marican Ibrahim Marican dan Shaharil Aiman, namun keputusan masih memihak kepada Thailand.

Rata-rata penyokong menzahirkan kekecewaan kerana skuad Malaysia gagal meneruskan rentak cemerlang apabila menggondol gelaran juara dalam acara Doubles dan Regu pada 23 Mac lepas.

Kali terakhir skuad negara mengatasi pasukan Gajah Perang itu ialah pada Sukan SEA Manila edisi 1991.