PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola, masih positif walaupun terpaksa melupakan peluang menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini selepas tewas kepada Newcastle United.

Aksi awal pagi semalam memperlihatkan The Citizens kalah 1-0 dan menoktahkan perjalanan mereka di pusingan ketiga dam Guardiola harus melupakan hasrat untuk meraih piala itu buat kali keempat kali berturut-turut.

Namun begitu, pengurus asal Sepanyol itu, yang melakukan lapan pertukaran dalam pertembungan di Stadium St. James Park berkenaan, ingin menumpukan perhatian bagi perlawanan pada masa depan dan mendahagakan lebih banyak prospek trofi walaupun masih dibelenggu kekecewaan.

"Kami masih mempunyai semangat positif untuk semua pemain perbaiki corak permainan mereka.

"Kami telah menang dalam Piala Super Eropah dan bakal menghadapi tiga lagi pertembungan," kata Guardiola.

Kesebelasan utama pasukan itu dibarisi oleh duo England, Kalvin Philips dan Jack Grealish selain Mateo Kovacic. Oscar Bobb turut diberikan kemunculan pertama dalam skuad senior sebagai pemain pertahanan dan Rico Lewis sekali lagi diberikan peluang untuk muncul dalam skuad utama.

Disoal mengenai sumbangan yang telah dilakukan oleh Bobb, Guardiola berkata "Bobb bijak menggunakan setiap peluang dan merupakan pemain serba boleh tidak kira di bahagian pertahanan atau serangan.

"Dia adalah pemain nombor 10, yang menggalas tanggungjawab dalam posisi penyerang dan juga sayap.

"Pemain berusia 20 tahun itu tahu cara untuk mengawal bola dengan baik dan intensitinya yang tinggi juga sangat bagus."

Mengenai kekalahan itu, Guardiola berkata: "Kami mengawal separuh masa pertama tetapi Newcastle cepat bangkit dan menyedari kesilapan mereka. Mereka melajukan tempo perlawanan dan bertindak dengan lebih agresif sehingga ke tiupan wisel penamat.

"Kami hadapi kesukaran. Saya tidak tahu berapa banyak kesalahan yang kami dan pihak lawan lakukan tetapi kami perolehi dua kad kuning. Kami perlu menerimanya.

"Akan ada waktu kekalahan dan kini kami di tahap itu. Kami tidak meraih kemenangan. Tahniah buat Newcastle," tambahnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro