SUKAN
Piala Liga: Liverpool uji Palace, Arsenal jumpa Brighton

Anak buah Arne Slot akan melayan kunjungan Crystal Palace dalam pusingan keempat Piala Liga di Anfield. - Foto Agensi/Sinar Harian
LIVERPOOL bakal berdepan Crystal Palace dalam aksi tumpuan pusingan keempat Piala Liga selepas undian rasmi yang berlangsung awal pagi tadi.
Pertembungan itu mempertemukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dengan pemenang Piala FA, sekali gus menjanjikan saingan sengit di Anfield.
Turut mencuri tumpuan, juara bertahan Newcastle United akan melayan kunjungan Tottenham Hotspur dalam satu lagi pertembungan sesama kelab EPL.
Arsenal yang kali terakhir menjulang trofi Piala Liga pada 1993 pula diundi menentang Brighton & Hove Albion, manakala Chelsea bakal berkunjung ke Molineux bertemu Wolverhampton Wanderers.Sementara itu, Grimsby Town yang menjadi satu-satunya wakil Divisyen Dua serta pencipta kejutan menyingkirkan Manchester United di pusingan terdahulu, sekali lagi diberi peluang aksi di laman sendiri menentang Brentford.
Dalam pada itu, tiga wakil Wales yang mara ke kelompok 16 terbaik buat julung kalinya turut mewarnai undian kali ini.
Wrexham akan menentang musuh tradisi Cardiff City dalam pertembungan pertama mereka sejak 2002, manakala Swansea City yang pernah menjuarai kejohanan ini pada 2013 diundi bertemu Manchester City.
Perlawanan pusingan keempat Piala Liga dijadualkan berlangsung pada minggu bermula 27 Oktober depan.
PIALA LIGA
Pusingan Keempat
Liverpool lwn Crystal Palace
Newcastle United lwn Tottenham Hotspur
Arsenal lwn Brighton
Wolverhampton Wanderers lwn Chelsea
Grimsby Town lwn Brentford
Wrexham lwn Cardiff City
Swansea City lwn Manchester City
Wycombe Wanderers lwn Fulham
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami