Bola Sepak Piala Malaysia.

Juara bertahan, Kelantan mempamer kebangkitan dramatik untuk mengikat Angkatan Tentera Malaysia ATM 2-2 sekaligus memastikan kemaraan ke pentas akhir dengan keputusan agregat 4-3.

Menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di tempat lawan, Kelantan tampak yakin ketika turun melayan kunjungan ATM di Stadium Sultan Muhamad keempat bagi aksi timbal balik malam tadi.

Bagaimanapun, sokongan padu ribuan penyokong The Red Warriors gagal melenyapkan semangat ATM dengan membuat kejutan menerusi gol pendahuluan Marlon Alex James, minit ke-18.

Belum sempat tuan rumah bangkit, penyerang import ATM itu sekali lagi berjaya meledak minit ke-35 untuk kedudukan dua kosong tamat separuh masa.

Cemas ketinggalan, Kelantan menyusun rentak menggasak kubu tentera sebaik babak kedua bersambung, namun beberapa peluang yang diraih gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

Sehinggalah pada minit ke-82, pemain kebangsaan Ahmad Fakri Saarani akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan buat Kelantan merapat kedudukan sebelum Kapten Badhri Radzi muncul wira dengan jaringan penyamaan tiga minit kemudian.

Kedudukan dua sama kekal tamat sepenuh masa sekaligus mengesahkan kemaraan Kelantan ke perlawanan akhir untuk bertemu Pahang atau Sarawak yang akan berentap dalam satu aksi separuh akhir, pada Sabtu.