KUALA LUMPUR: Malaysia yang mempamerkan semangat juang tinggi terpaksa akur dengan kehebatan Thailand, selepas tewas pada perlawanan akhir acara regu lelaki Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand ke-36, di Nakhon Ratchasima (Korat) malam ini.

Pasukan negara yang dibarisi gandingan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Amirul Zazwan Amir dan Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, tewas 20-22, 17-21, di tangan trio Pattarapong Yupadee, Pornthep Tinbangbon dan Varayut Jantarasena.

Pada set pertama final Divisyen Perdana itu, kedua-dua pasukan yang merupakan musuh tradisi menyajikan pertarungan sengit, dengan saling mengejar mata sehingga kedudukan terikat 18-18.

Kesilapan pemain lawan menahan bola dan libasan servis padu Mohammad Syahir kemudiannya meletakkan Malaysia di ambang kemenangan set pertama, namun Thailand tenang bangkit mengutip empat mata berturut-turut, sekali gus menokhtahkan permainan 22-20.

Momentum cemerlang itu diteruskan Thailand pada set kedua, sambil Malaysia kekal memberikan saingan sengit sepanjang permainan.

Thailand yang bermula perlahan, berjaya mendahului 11-7 sebelum Malaysia bangkit menguasai permainan 12-11, namun pasukan lawan memastikan itu kali terakhir skuad negara berada di hadapan, apabila terus mendominasi gelanggang sehingga memuktamadkan kemenangan 21-17.

Biarpun tewas, keputusan itu menyaksikan Malaysia memperbaiki pencapaian meraih pingat gangsa pada edisi lepas.

Skuad sepak takraw lelaki negara selepas ini akan turun berentap dalam acara regu berpasukan, yang dijadual bermula Khamis ini.

Malaysia membawa pulang gangsa dalam acara regu berpasukan lelaki pada edisi lepas.

-- BERNAMA