KUALA LUMPUR: Ketika Aaron Chia mengemudi pasukan kebangsaan buat kali pertama pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Februari lepas, Malaysia telah berjaya merangkul kejuaraan sulungnya dalam kejohanan itu yang berlangsung di Shah Alam.

Kini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali lagi memberi tanggungjawab itu kepada beliau untuk mengetuai para pemain di kejohanan berpasukan lelaki berprestij Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, pada 8-15 Mei ini.

Namun, Aaron, yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki, tidak berasa beban dengan peranan sebagai ketua pasukan.

Malah, pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu berkata pengalaman yang diraihnya di BATC 2022 telah mendorong beliau untuk memberi motivasi kepada pasukan negara, yang juga pilihan keenam kejohanan, membuat kejutan di Thailand bulan depan.

""Walaupun Piala Thomas berbeza daripada BATC, saya tak rasa tekanan, sebagai kapten saya mahu beri motivasi kepada pasukan.

"Ia adalah satu penghormatan buat saya memimpin pasukan dan cuba memenangi Piala Thomas," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Di Bangkok, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua kejohanan dan juara Piala Thomas 2014 Jepun, serta England dan New Zealand.

Sementara itu, Aaron percaya penglibatan pemain profesional seperti perseorangan ke-35 dunia Liew Daren dan pemenang gangsa beregu lelaki Kejohanan Dunia 2021, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, akan memberi kelebihan kepada skuad yang diumumkan BAM Rabu lepas.

"Kehadiran Daren dan Yew Sin-Ee Yi pastinya menjadikan pasukan kita lebih kuat dalam misi meraih kejayaan Piala Thomas 2022," katanya.

Selain Daren, harapan Malaysia turut disandarkan pada pemain nombor tujuh dunia Lee Zii Jia bersama Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao dalam perseorangan lelaki; manakala juara Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta pendatang baharu Chia Weijie akan bersama-sama Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi dalam beregu lelaki.

-- BERNAMA