KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berharap isu kecergasan dan kecederaan yang menimpa skuad lelaki kebangsaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) tidak berulang pada Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.

Rexy mengakui agak 'kusut' memikirkan insiden yang melibatkan beberapa tonggak utama pada BATC 2024 di Shah Alam, Selangor, memandangkan beliau tidak pernah berdepan situasi terbabit sama ada ketika bergelar pemain ataupun jurulatih sebelum ini.

"Saya hanya mahu pasukan yang mantap (di Piala Thomas 2024) dan tidak mahu hal di BATC 2024 berlaku lagi.

"Bukan saya seorang sahaja malah, saya percaya rakyat Malaysia juga tidak mahu lihat perkara sedemikian terjadi," katanya ketika ditemui di sesi latihan di sini.

Pada saingan BATC 2024 bulan lepas, skuad lelaki mengalami detik mencemaskan selepas dua pemain perseorangan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terpaksa direhatkan bagi beberapa perlawanan kerana masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang.

Dalam pada itu, Rexy mengakui 'pening' untuk memilih barisan beregu lelaki negara memandangkan pasangan yang berada dalam radarnya untuk ke skuad akhir Piala Thomas 2024 memiliki kelebihan masing-masing.

Selain gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beliau berkata antara gandingan yang mungkin berpotensi disenaraikan adalah pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta pasangan meningkat naik, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

"Sze Fei-Nur Izzuddin sering menampilkan persembahan baik pada kejohanan berpasukan. Bagi Hon Jian-Muhammad Haikal, walaupun pernah bermain di BATC 2024 baru-baru ini, adakah mereka bersedia main pada tahap setinggi Piala Thomas," katanya.

Menurut Rexy antara pemain perseorangan lelaki yang menjadi perhatian pihaknya untuk diserap ke dalam barisan akhir Piala Thomas 2024 ialah Zii Jia, diikuti empat lagi pemain kebangsaan iaitu Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe.

Semalam, pakar beregu dari Indonesia itu memaklumkan barisan kejurulatihan bermesyuarat hari ini bagi menentukan barisan pemain yang bakal dibawa menggalas cabaran negara pada saingan Piala Thomas dan Uber 2024.

Piala Thomas dan Uber 2024 akan berlangsung dari 27 April hingga 5 Mei ini.

-- BERNAMA