KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dijangka kembali menjalani latihan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, selepas kecederaan dialaminya pulih sepenuhnya.

Menurut Mohd Azizulhasni, luka yang dialami akibat kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai hampir sembuh, dan selepas itu perlu menjalani fisioterapi sebelum kembali ke trek.

"Sebelum ini, belum sembuh sepenuhnya dan terdapat luka dalaman di pinggul saya selain perlu menjalani rawatan ultrasound. Saya akan fokus dengan rawatan fisioterapi selepas ini untuk sembuh dengan segera dan kembali berlatih," katanya kepada pemberita selepas dilantik duta produk yogurt FGV's Bright Cow di sini pada Sabtu.

Bulan lepas, Mohd Azizulhasni terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi ketika sedang memecut bagi mengejar motosikal di hadapannya dan insiden itu menyebabkan beliau terpaksa melupakan hasrat bertanding pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Sementara itu, The Pocket Rocketman berbangga dengan pencapaian skuad berbasikal negara antaranya Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta pasukan pecut lelaki dan wanita yang menyumbang pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022.

"Bagi saya, ia merupakan satu pencapaian yang boleh diterima. Kita tahu tahap acara berbasikal trek di Asia ini sangat tinggi. Pasukan Jepun dan China antara negara terbaik termasuklah negara kita," katanya.

Pada edisi Sukan Asia kali ini, kem berbasikal trek negara menyumbang empat gangsa menerusi Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih dua gangsa dalam acara pecut dan keirin.

Dua lagi pingat gangsa diperoleh menerusi trio pecut berpasukan wanita dibarisi Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi dan gandingan Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dalam acara pecut berpasukan lelaki.

-- BERNAMA