KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) Datuk V. Radhakrishnan dilantik sebagai Presiden Persekutuan Dodgeball Asia (DBFA) baru-baru ini.

Radhakrishnan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kumpulan Gimnastik Estetik Malaysia (MAGGA) berkata pelantikan beliau itu merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan besar buat dirinya dan juga negara.

"Ia merupakan satu pergesahan bahawa usaha gigih kita selama ini tidak sia-sia dan tidak dipandang enteng oleh mereka. Saya berikrar selamanya memberikan komitmen untuk menjayakan peranan saya dan berjanji akan mengangkat acara sukan hebat dodgeball ini ke peringkat yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu MAD dalam kenyataan sama berkata Persekutuan Dodgeball Dunia (WDBF) telah menjalankan pemilihan secara persendirian disebabkan gesaan oleh anggotanya untuk ketelusan dan pemilihan yang bersih.

"Sebanyak 15 negara anggota DBFA mengambil bahagian dalam pemilihan dan menghantar undi mereka menerusi e-mel kepada DBFA dalam gesaan mereka kepada badan dunia itu untuk menjalankan pemilihan secara persendirian. WDBF kemudiannya menjadualkan undian menerusi prosiding sulit dan mengumumkan pemenangnya," katanya.

WBDF mengucapkan tahniah kepada Radhakrishnan atas kemenangan itu, dan berharap dapat menjalin hubungan rapat dengan badan induk dodgeball Asia dan Malaysia.

Nama Radhakrishnan sememangnya sudah tidak asing lagi dalam industri sukan Malaysia, menjangkau empat dekad, dan beliau kini berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Badminton India Malaysia (MIBA).

Beliau sebelum ini merupakan naib presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

-- BERNAMA