PETALING JAYA: Penangguhan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2022 yang dijadual berlangsung bulan ini memberi kesan kepada misi Selangor menamatkan penantian selama 16 tahun muncul juara.

Presiden Kesatuan Ragbi Selangor Syed Aldrin Syed Kabeer berkata penangguhan kejohanan yang sepatutnya bermula 22 Okt hingga 26 Nov itu bukan sahaja memberi impak kepada pengurusan pemain import, malah pasukan turut berdepan risiko kehilangan khidmat mereka.

"Kita telah kenal pasti hampir 80 peratus pemain, cuma ada isu dengan pemain import sebab ada pemain berpangkalan di England yang mungkin akan pulang untuk sambut perayaan Krismas. Kita masih pantau perkara ini sebab belum dapat tarikh baharu.

"Ia (penangguhan) beri kesan juga dari segi penempatan atlet dan sekarang timbul isu ada pemain yang kita dah 'ikat' tapi bila ditangguhkan, ada pasukan lain cuba 'bercakap' dengan mereka," katanya ketika ditemui Bernama pada sidang media Corporate Premier Rugby Championship di sini semalam.

Kejohanan Ragbi Piala Agong 2022 ditangguh bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan tarikh baharu pertandingan akan ditetapkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Mengulas lanjut, Syed Aldrin berkata pada edisi kali ini Selangor mempertaruhkan barisan pemain muda dan berpengalaman bagi merealisasikan impian mara ke final seterusnya muncul juara selepas kali terakhir pada 2006.

Beliau berkata pasukan telah mengenal pasti pemain daripada Liga Ragbi Negeri Selangor serta bakat muda yang membantu Selangor mara ke pentas final Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 baru-baru ini.

"Sasaran kita cuba layak ke final dan jadi juara Piala Agong," katanya sambil mengakui Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasukan yang perlu diberi perhatian kerana dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan dan pemain import dari Fuji, selain pasukan Putrajaya dan Terengganu.

Beliau mengakui peranan pemain import amat penting kerana ia dilihat sebagai antara elemen utama yang dapat membantu pasukan mencapai kejayaan.

Sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan pada edisi ke-38 yang sepatutnya diadakan kembali tahun ini selepas ditangguh dua tahun susulan pandemik COVID-19.

Terengganu muncul juara edisi 2019 selepas menewaskan Sabah.

-- BERNAMA