Enam atlet yang membuat rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk beraksi pada Sukan Komanwel 2018 kini boleh menarik nafas lega apabila mereka mendapat lampu hijau untuk beraksi pada temasya sukan itu di Gold Coast, Australia, bermula 4 hingga 15 April depan.

Mereka adalah Ratu Pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli, Abharam Eng Wei Jin dan Charles Chen Seong Fook daripada sukan menembak, Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee (berbasikal), Ho Ying (ping pong) serta Yang Chen Yin (triathlon).

Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata rayuan enam atlet tersebut diluluskan selepas pihak penganjur meluluskan tambahan dua kuota bagi acara individu kepada Malaysia berbanding 98 atlet sebelum ini, selain terdapat empat kekosongan apabila atlet tersenarai sebelum ini, tidak dapat beraksi kerana kecederaan dan sebab-sebab lain.

Beliau turut mengesahkan Malaysia tidak akan mempunyai atlet dalam sukan tinju apabila wakil tunggal negara, Mohd Fuad Mohd Redzuan bagi kategori 49kg, mengalami kecederaan ketika menyertai Kejohanan pra-Sukan Asia pada Februari lepas.

"Secara keseluruhan, Malaysia akan diwakili 178 atlet pada temasya kali ini termasuk lapan atlet para. Ini sebuah kontinjen kompetitif, yang bakal menerima cabaran sengit daripada kuasa-kuasa besar seperti Australia, England dan Afrika Selatan.

"Seperti biasa, MOM tidak meletakkan sasaran kepada mereka supaya tidak memberikan tekanan tambahan kepada atlet, jurulatih dan pengurus pasukan. Apa yang penting ialah bukan jumlah pingat emas, tetapi jumlah pingat secara keseluruhan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pembawa bendera ke temasya sukan itu, Tunku Imran berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tunku Imran berkata tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM akan ditetapkan selepas mendapat kebenaran daripada mesyuarat majlis pada 31 Mac ini.

Mesyuarat itu turut bersetuju untuk melantik Naib Presiden MOM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail sebagai timbalan Chef-de-Mission (CDM) Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos ini.

Tunku Imran turut mengesahkan mesyuarat tersebut menerima laporan Sukan SEA 2017 daripada CDM Datuk Marina Chin dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan daripada Datuk Mumtaz Jaafar.

"Kita juga membincangkan mengenai dasar dan garis panduan mengenai gangguan dan penyalahgunaan dalam sukan selepas CDM Sukan Komanwel Huang Ying How membangkitkan isu-isu tersebut. Kita memutuskan untuk menggunakan pendekatan dasar dan garis panduan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Low Beng Choo berkata sekiranya mana-mana atlet daripada senarai 178 atlet ke Sukan Komanwel itu mengalami kecederaan, mereka masih boleh digantikan.

"Jumlah 100 atlet tersebut tidak merangkumi 10 atlet daripada sukan angkat berat yang memerlukan mereka layak secara merit, 60 atlet daripada sukan berpasukan seperti ragbi, hoki lelaki dan wanita serta lapan atlet para," katanya.

-- BERNAMA