EJEN Ronaldinho, Roberto de Assis mendedahkan pemain itu berharap dapat menandatangani kontrak bersama pasukan yang beraksi dalam saingan Copa Libertadores, musim ini.

Pemain berusia 36 tahun itu tidak beraksi secara kompetitif setakat ini sejak meninggalkan Fluminenese pada September 2015, namun kerap melibatkan diri dalam perlawanan persahabatan di seluruh dunia.

Namun, Assis mendakwa bekas bintang Barcelona dan AC Milan itu bersedia kembali beraksi secara kompetitif di Amerika Selatan.

Kelab Brazil, Coritiba -- yang tidak akan beraksi di Libertadores -- telah pun mengesahkan minat mereka.

"Projek utama adalah untuk bermain bola sepak pada tahun 2017," Assis memberitahu media Uruguay, Ovacion Digital.

"Kami berasakan dia akan bermain bersama pasukan yang beraksi di Libertadores.

"Saya ada bercakap dengan Nacional -- sebuah pasukan berpangkalan di Uruguay -- namun sehingga sebarang pengesahan dilakukan, pihak kami tidak akan mendedahkan sebarang maklumat."