PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan temu bual bersama rancangan TV Piers Morgan tidak akan sesekali mengganggu fokusnya menjelang kempen Piala Dunia 2022 di Qatar.

Kata kapten Portugal itu, tumpuannya kini lebih terarah untuk membantu pasukan merealisasikan impian rakyat Portugal untuk memenangi Piala Dunia.

“Tumpuan penuh dan mutlak kepada tugasan pasukan kebangsaan. Kumpulan pemain ini bersatu ke arah satu objektif iaitu merealisasikan impian semua rakyat Portugal.

"Kami akan ke Qatar untuk menang dan mempunyai pasukan hebat untuk misi itu. Terdapat juga beberapa pasukan hebat lain yang mempunyai ramai bakat dunia di Qatar.

"Jadi kami perlu kekal fokus, merendah diri dan menunjukkan apa yang boleh kami lakukan untuk mencipta kejayaan buat Portugal,” kongsinya di akaun Instagram.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu mengkritik pengendali The Red Devils, Erik ten Hag, Ralf Rangnick dan tokoh senior di Old Trafford dalam temu bual bersama Morgan.

Ronaldo mendakwa dikhianati gergasi liga Inggeris itu sambil menganggap kelab tersebut tidak menunjukkan sebarang kemajuan sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013. - Sinar Harian