Pasukan e-sukan Rules of Survival Malaysia, '8X' mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya meraih tempat kedua dalam Grand Final Kejohanan Piala Asia Tenggara pada hujung minggu lalu.

8X yang terdiri daripada empat anak berbakat tanah air itu membawa hadiah wang tunai kira-kira RM48,000 menerusi kemenangan itu.

Kapten pasukan 8X, Raden Amer Farouqi Radin Jayakasuma, berkata kajian teliti mengenai corak permainan pasukan Thailand menyumbang kepada kejayaan dalam pusingan grand final kejohanan tersebut.

"Kami memang tidak menjangkakan untuk menang dalam kejohanan ini memandangkan setiap pasukan yang terlibat mempunyai kehebatannya tersendiri.

"Sehari sebelum final, saringan kelayakan Thailand masih berlangsung dan kami menggunakan kesempatan itu untuk pelajari benda baharu dan aplikasikan corak permainan mereka pada hari pertandingan.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan pasukan kami mendapat tempat kedua," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain Raden Amer Farouqi, pasukan tersebut terdiri daripada Muhammad Afiq Abdul Aziz, Muhammad Abdul Samad dan Muhammad Danial Shahrom.

Grand Final Kejohanan Piala Asia Tenggara Rules of Survival itu berlangsung di Bangkok, Thailand pada hujung minggu lalu dan menawarkan hadiah terkumpul melebihi RM440,000.

Selain Thailand, ia disertai beberapa negara Asia Tenggara lain termasuk Filipina, Singapura, Vietnam, Indonesia dan Brunei.

Kejohanan itu menyaksikan pasukan Thailand 'OfGod' muncul juara dengan mata terkumpul sebanyak 1,760 sementara 8X meraih 1,450 mata.