KUALA LUMPUR: Kerajaan Indonesia mengarahkan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menghentikan sementara perlawanan bola sepak Liga 1 sehingga prosedur penilaian dan keselamatan dilakukan susulan kejadian rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan Kabupaten Malang, Jawa Timur.

Presidennya, Joko Widodo atau Jokowi turut mengeluarkan arahan agar Ketua Polis Indonesia menyiasat secara menyeluruh punca kejadian itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 129 individu terkorban.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 129 terkorban dalam rusuhan perlawanan bola sepak

"Saya telah mengarahkan Menteri Kesihatan dan Gabenor Jawa Timur memantau khusus terhadap rawatan mangsa-mangsa yang sedang dirawat di hospital agar mendapat layanan yang terbaik.

"Saya juga telah memerintah kepada Menteri Belia dan Sukan, Ketua Polis dan Ketua Umum PSSI untuk menilai keseluruhan tentang pertandingan sepak bola dan prosedur keselamatan.

"Khusus kepada Ketua Polis, saya minta melakukan siasatan dan menyiasat kes ini," kata Jokowi dalam rakaman yang dimuat naik di laman YouTube Sekretariat Presiden pada Ahad.

Foto/Agensi

Jelas Jokowi lagi, beliau berasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan berharap insiden sedemikian tidak berulang pada masa akan datang.

"Saya kesal dengan kejadian ini dan saya harap ia yang terakhir tragedi sebegini di tanah air. Jangan sampai ada kejadian sebegini pada masa akan datang," tambah Jokowi.

Dalam kejadian pada Sabtu malam, sekurang-kurangnya 129 orang terbunuh termasuk dua anggota polis, manakala 180 cedera akibat rempuhan ketika rusuhan perlawanan bola sepak di Jawa Timur.

Insiden disifatkan sebagai salah satu bencana terburuk dalam arena bola sepak dunia.

Memetik Kompas.com, Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta berkata penyokong Arema meluru ke dalam padang selepas pasukan mereka tewas kepada Persebaya Surabaya, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan ketegangan.

Begitupun, difahamkan pemedih mata yang dilepaskan menyebabkan penyokong berkenaan cuba mengelak sehingga berlaku rempuhan dan terpijak penonton lain.

Selain itu, ramai penyokong dilapor mengalami sesak nafas.

Rusuhan berlarutan sehingga ke luar stadium dengan sekurang-kurangnya lapan kenderaan polis mengalami kerosakan.