KUALA NERUS: Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dijangka kembali beraksi bersama Terengganu FC (TFC) untuk memperkuatkan pasukan itu musim depan.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, rundingan pinjaman melibatkan pemain kelahiran Dungun berusia 26 tahun itu kini hampir selesai.

"Saya tahu beberapa pemain akan kembali seperti Safawi... daripada JDT (Johor Darul Ta'zim) sebagai pinjaman. Saya rasa rundingan hampir selesai. Dan kita sudah menandatangani kontrak dengan beberapa pemain," katanya pada sidang media selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

TFC menamatkan kempen Liga Super musim ini di tangga keenam selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Perak FC dalam perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, Steinbruckner berkata, tiada rombakan besar bakal dilakukannya sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia musim depan dan beliau hanya akan membuat sedikit penambahbaikan termasuk membawa masuk beberapa pemain baharu di posisi tertentu bagi memantapkan lagi pasukan.

Steinbruckner yang baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan bersama TFC semalam berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaiannya untuk musim pertama di Terengganu.

Walaupun gagal meraih tiga tempat teratas Liga Super, belliau berkata skuad itu berjaya mara ke pentas akhir Piala Malaysia, separuh akhir Piala FA dan mencipta rekod enam perlawanan tanpa kalah dalam saingan peringkat kumpulan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim ini.

"Saya tak kata ini sempurna, tapi saya rasa ia musim yang baik. Ini musim pertama saya... banyak pemain muda, pemain baharu," katanya dan menambah mereka perlu menyasarkan matlamat lebih tinggi musim depan.

Steinbruckner akan pulang bercuti ke Croatia hari ini. - BERNAMA