SUKAN
'Saya tidak pernah tolak panggilan skuad kebangsaan' - Safawi Rasid

Safawi muncul antara pemain tempatan paling menyerlah pada awal musim Liga Super 2025/26 menerusi ledakan lima gol dalam enam penampilan, setakat ini. - Gambar/ Stadium Astro
"SAYA tidak pernah tolak panggilan skuad kebangsaan".
Ringkasan AI
- Safawi Rasid menegaskan kesediaannya menyertai skuad kebangsaan bila-bila masa dan tidak pernah menolak panggilan Harimau Malaya, sambil menunjukkan prestasi cemerlang bersama KL City dengan lima gol dalam enam perlawanan.
- Beliau meluahkan simpati terhadap tujuh pemain warisan negara yang digantung oleh FIFA dan menyifatkan mereka sebagai keluarga dalam pasukan.
- Skuad negara dijadual bertemu Laos dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober, dan senarai panggilan kem latihan pusat dijangka diumumkan oleh jurulatih Peter Cklamovski dalam masa terdekat.
Bintang berusia 28 tahun itu turut memainkan peranan penting dalam jalinan kerjasama bersama pemain import, Kpah Sherman, serta Paulo Josue di jentera serangan The City Boys.
Menerusi perkembangan semasa yang melanda skuad kendalian Peter Cklamovski ketika ini, Safawi menzahirkan simpati buat tujuh rakan sepasukannya itu sambil melabel pemain warisan negara terbabit sebagai 'keluarga'.
Terdahulu, bintang warisan negara, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano, telah dikenakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA (kerana pelanggaran Tatatertib FIFA2) berhubung isu dokumentasi.
"Saya tidak pernah tolak panggilan skuad kebangsaan. Jadi, saya sentiasa bersedia pada bila-bila masa sahaja. Tidak menjadi masalah apabila diperlukan.
"Jika ada rezeki berpeluang diturunkan, saya akan buat yang terbaik. Sudah tentu sedih, kerana kami semua ibarat satu keluarga. Mungkin ada hikmah, ada benda baik nak berlaku. Saya akan sentiasa membantu pasukan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
Skuad negara dijadual bertemu Laos dua kali dalam perlawanan seterusnya Kelayakan Piala Asia 2027 bermula dengan aksi pertama pada 9 Oktober hadapan disusuli perlawanan kedua pada 14 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Cklamovski dijangka mengumumkan panggilan kem latihan pusat dalam masa terdekat. - Stadium Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami